PUTRAJAYA: “Bila berpuasa baru saya tahu erti nikmat. Ketika berbuka air kosong pun rasa sedap dan manis, malah berpuasa juga mengajar saya mengenai erti cinta dan menghargai orang lain terutama ibu bapa,” kata gadis Tionghua, J Sze, 21, yang mula belajar berpuasa sejak tahun lalu walaupun bukan beragama Islam.
J Sze, penuntut tahun dua di Maktab Perguruan Cheras, Kuala Lumpur mengakui dia mula berpuasa sekadar terikut-ikut dengan rakan Melayu yang berpuasa, selain ingin mengetahui perasaan mereka ketika menjalani rukun Islam ketiga itu, lalu mencabar diri untuk berpuasa bersama mereka.
Katanya, selepas berjaya berpuasa dia menemui apa maksud nikmat terutama ketika berbuka, apabila makanan dan minuman yang dinikmati ketika itu terasa amat berbeza dan dia dapat merasai keenakan, kesedapan dan kemanisan air kosong yang diminum.
“Tegukan pertama air terasa amat manis dan sedap. Itulah kenikmatan yang belum pernah saya rasai sebelum ini, jika saya tidak berpuasa tidak mungkin saya dapat merasainya. “Daripada berpuasa juga saya belajar bagaimana menghargai dan memahami maksud cinta sebenarnya. Saya belajar menghargai air yang mungkin satu hari nanti sukar mendapatkannya, rakan-rakan, masyarakat dan ibu bapa yang mungkin akan meninggalkan kita satu hari nanti,” katanya ketika ditemui pada majlis Iftar Perdana Hidayah Centre di sini, kelmarin.
Anak gadis yang enggan gambarnya dirakam berkata, dia mula berpuasa penuh sejak tahun lalu, namun tahun ini berhasrat untuk memperbaiki puasanya supaya lebih sempurna dengan menjaga tingkah laku, perkataan, perbuatan dan berpakaian.
Katanya, banyak faedah dan manfaat yang diperoleh jika seseorang berpuasa kerana mereka dapat merehatkan anggota dalaman badan yang sudah hampir setahun beroperasi memproses makanan.
“Bagi saya berpuasa sangat bagus untuk badan kita yang sudah bekerja keras selama 11 bulan. Namun, sepatutnya kita hanya berpuasa tidak makan dan minum, tetapi mesti menjaga tingkah laku, percakapan, pemikiran dan pandangan.
“Itu sebab saya kata bagus sebab kita mengambil berat semua aspek dalam kehidupan seharian supaya puasa kita diterima,” katanya yang masih dalam proses mendalami agama Islam.
J Sze berkata, ibu bapa dan keluarganya menerima dengan hati terbuka dan tidak menghalang tindakannya untuk berpuasa selepas dimaklumkan mengenai kebaikan dan manfaat yang diperoleh sekiranya seseorang itu berpuasa.
Menurutnya, ramai kawan bukan Islam yang mempersoalkan tindakannya berpuasa sedangkan dia bukan beragama Islam dan tidak wajib melakukannya.
“Sebab itu mentor saya, sifu Naser ada memuat naik video mengenai pengalaman saya berpuasa ke laman sosial YouTube untuk memaklumkan rakan-rakan bukan Islam mengenai kebaikan berpuasa dan kebaikan yang diperoleh.
“Ia juga sebagai satu usaha untuk menarik mereka sama-sama berpuasa supaya dapat merasai sendiri pengalaman berlapar dan dahaga sepanjang hari demi kebaikan sendiri,” katanya.
Katanya dia gemar ke bazar Ramadan kerana mempunyai pelbagai pilihan makanan untuk dinikmati ketika berbuka bersama rakan-rakan.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/06
SUMBER : MYMETRO
“…..dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.” -Surah Yusuf ayat 12
0 ulasan:
Post a Comment